Tuesday, June 26, 2012

Saat-saat sukar

Mei dan Jun 2012
Adalah saat-saat sukar untukku menjalani kehidupan
Kesihatan agak kurang mengizinkan
Kesibukan yang melanda
Pening memikirkan wang masuk untuk dibelanjakan

Aku sebenarnya telah berjaya menyewakan kedaiku dengan sewa bulanan RM1800. Rancanganku, aku ingin mengumpul wang sewaan tersebut untuk membeli bangunan baru untuk dibina sebuah hotel. Ataupun mengubahsuai rumah dan dijadikan sebuah tempat tinggal yg agak selesa. Ataupun mengubahsuai rumah abah di kampung menjadi sebuah Pusat Pembelajaran Anak-Anak serta butik. Namun impianku terbantut seketika. Penyewa menamatkan sewaan genap sebulan menyewa. Katanya perniagaan terganggu dek penguasaan pihak polis di sekitar Puchong ini. Mereka tidak dapat beroperasi kerana perniagaan barang lusuh menjadi sasaran pihak polis berikutan terdapat terlalu banyak kes jenayah seperti kehilangan kenderaan dan aktiviti sorok enjin di kedai-kedai lusuh. Puchong memang sudah terkenal dengan persekitaran jenayah dan samseng. Sebab itulah pihak polis sentiasa mengadakan rondaan dan menyediakan banyak pos polis di setiap penjuru taman.

Buntu seketika. Bulan Ramadhan makin menjelang. Rancangan untuk menggembirakan orang tua sedikit terganggu. Aku terpana. Seminggu dua tidak boleh lena dek memikirkan rancangan yang terbantut. Hasil jualan kedai pula menyusut. Bulan Mei masih tampak ok. Bulan Jun banyak kosong saja. Risau. Risau jika tak mampu membayar gaji pekerja, sewa kedai, pinjaman rumah, pinjaman kedai, belian barangan dan pelbagai lagi. Aku memang tertekan.

Kalau diikutkan pengiraan akaun, sebenarnya Mei 2012 aku mendapat hasil jualan yang meningkat berbanding bulan-bulan sebelumnya dan juga berbanding tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah, aku mampu menyediakan hutang abah, advance pinjaman kedai, advance gaji dan membersihkan kad kredit dengan pantas. Syukur sangat. Namun kekurangan cairan tunai membuat aku runsing. Di poket memang kering. Kalau ingin berbelanja aku harus mengeluarkan cek.

Ya Allah! Ampunkan aku kerana terlalu risau memikirkan hal duniawi. Aku hanya nampak yang sukar. Aku tak nampak bahawa kesukaran ku sebenarnya telah terbayar. Tuhan memberikan aku sedikit rehat. Namun aku tak sedar. Ampunkan aku Ya Allah! Aku sepatutnya lebih memikirkan kesukaranku di akhirat kelak. Aku sangat mudah berputus asa. Ampunkan hambaMu ini Ya Allah! Berikan aku kekuatan. Berikan aku kedamaian dan ketenangan agar aku dapat menempuh jalan ini dengan lebih baik.

Jun 2012, hasil jualan sedikit menurun. Aku terpaksa membatalkan pengambilan Cuna sebagai akauntan syarikat. Dek kehilangan sumber sewaan kedai. InsyaAllah akan kuusahakan yang lain pula.

Saat-saat sukar ini, aku punya 3 hari rehat bersama orang lain. Iaitu bersama anak buahku. Aku mengajarnya di CLC. Minggu-minggu awal, aku masih tidak dapat membina rentak dan ikatan. Maklumlah, aku tak ada pengalaman. Tiada anak. Anak kecil berusia 3 tahun ini memberi sedikit suasana yang berlainan daripada rutin harianku. Makan tengahariku lengkap disediakan ibu. Syukur. Minggu-minggu berikutnya, aku sudah mula pandai menggunakan set DVD Grolier. Sudah mula pandai mencuri fokus yang lari daripada anak kecil itu. Aku sudah mula mencipta aktiviti luaran bersama si kecil. Meskipun masa bersama yang singkat, namun sedikit sebanyak aku mampu memberikan hasilnya. Alhamdulillah, maklum balas daripada ibu Qusyairi memberikan makluman positif. Si kecil sudah mula petah berlagu abc dan mengeja meskipun masih pelat. Aku tergamam mendengarnya. Seronok sangat. Meskipun ia sangat kecil untuk kubanggakan. Aku juga terasa sayu tatkala ibu Qusyairi menyatakan si kenit itu sedih apabila dia bangun, dia tidak nampak kelibatku. "Mak, abang Kuchai sedih bila bangun tengok Mak Long dah takde" :) begitulah lebih kurang. Ya! Semalam dia bermain dan puas belajar. Aku amat puas hati. Dek kepenatan, dia tertidur tanpa sempat nenek menukarkan pampers. :) Dan aku pamit seperti biasa untuk melakukan tugasan pejabat. Hari ini pula, apabila si nenek menyuruh Qusyairi mengemaskan bahan-bahan pembelajarannya, katanya "Cikgu Mak Long tak suruhpun" wahhhh... nampak macam biasa saja. Tapi impaknya sangat menyentuh hatiku. Terus aku memberikan arahan kepadanya agar mengemas. Dia sanggup menahan ngantuk demi menunggu untuk melihat aku pulang sebelum dia menutup mata. Selesai mengemas, dia melambai aku pulang. Seronoknya! :)